Perkataan biasa dalam doa seharian (Siri 1)

Orang-orang Melayu khususnya di Malaysia sangat membudayakan berdoa. Doa dibacakan semasa dan selepas solat lima waktu sehari semalam, semasa melakukan ibadah di masjid, majlis-majlis kenduri-kendara, majlis rasmi dan semasa memulakan apa jua aktiviti, program atau perbuatan yang baik dan diredai Allah. 

Ini adalah sesuatu budaya yang terpuji malah menjadi ibadah kepada Allah yang In syaa Allah mendapat ganjaran baik daripadaNya. Namun demikian, sayang sekali kerana kekerapan membaca doa itu sehari-hari, berbulan-bulan, bertahun malah seumur hidup, orang kita ini tidak mengambil berat kepada makna yang terkandung dalam doa-doa yang menggunakan bahasa Arab itu.

Penguasaan bangsa Melayu terhadap bahasa Arab tidak seimbang dengan jumlah perkataan (vocabulary) Arab yang sememangnya telah banyak dimelayukan. Yang sepatutnya sangat membantu orang yang berlidahkan bahasa Melayu bagi menguasai bahasa Arab. 

Disini kita lihat perkataan-perkataan yang biasa digunakan dalam  permulaan atau pembukaan kepada doa-doa yang dibacakan.

اَللهُمَّ  - Yang bermaksud "Ya Allah", "Wahai Allah". Ianya berasal daripada perkataan يَا dan الله. Biasanya digunakan untuk memulakan permintaan doa.

رَبِّي - Bermaksud "Tuhanku". Berasal daripada perkataan رَبُّ (Tuhan) dan اَنَا (aku/saya). Huruf ي pada رَبِّي itu menggantikan perkataan اَنَا (aku/saya). Ianya juga biasa digunakan dalam memulakan doa dan diikuti dengan perkataan perbuatan yang memohon / meminta seperti رَبِّي انْصُرْنِيْ yang mana انْصُرْنِيْ membawa makna "tolonglah aku".

رَبَّنَاBermaksud "Tuhan kami". Variasi lain bagi di atas. Berasal daripada perkataan رَبُّ (Tuhan) dan نَحْنُ (kami / kita). Cuma نَحْنُ dalam bahasa Arab ianya seumpama bahasa Inggeris (We) yang meliputi maksud kami dan juga kita. Oleh itu penggunaan "kami" atau "kita" itu bergantung kepada konteks ayat.

إِلٰهِيْ - Juga bermaksud "Tuhanku". Cuma perkataan إِلٰه membawa maksud "Tuhan Yang Disembah" atau pun "sembahan". Bagi orang Islam hakikat yang layak dan wajib disembah itu adalah Tuhan Pemelihara sekalian alam iaitu Allah sahaja. Tiada yang lain.

إلٰهَنَاBermaksud "Tuhan kami". 

Bagi perkataan (رَبِّي ,رَبَّنَا, إِلٰهِيْ ,إلٰهَنَا) di atas, penggunaannya dalam konteks doa adalah dalam bentuk seruan. Oleh itu kebiasaannya dimulakan dalam terjemahannya sebagai "Wahai / Ya Tuhan aku / kami".

اِنِّيْ - Bermaksud "sesungguhnya aku". اِنَّ (sesungguhnya) + اَنَا (aku / saya) = اِنِّيْ (sesungguhnya aku).

اِنَّاBermaksud "sesungguhnya kami". اِنَّ (sesungguhnya) + نَحْنُ (kami / kita) = اِنَّا (sesungguhnya kami).

أَعُوْذُ - Bermaksud aku berlindung atau minta pemeliharaan. أَ itu mewakili aku. Biasa dibaca dalam doa berbentuk memohon perlindungan atau pemeliharaan daripada perkara buruk. Juga dikenali sebagai doa-doa jenis تَعَوُّذْ (minta berlindung). 

Perkataan  perbuatan yang digunakan di sini berasal daripada perkataan عَاذَ يَعُوْذُ عَذْوًا (mohon berlindung). Kebiasaannya diikuti dengan perkataan بِهِ atau "dengan Nya". "Nya" itu dalam berdoa dalam konteks تَعَوُّذْ seperti ini kembali kepada Allah. 

Maksudnya memohon perlindungan dengan-Nya atau dengan Allah. 

Sudah menjadi kepada kebiasaan orang Melayu menyebut dalam perbualan, Nauzubillah نَعُوْذُ بِالله, apabila mendengar sesuatu perkara buruk yang tidak disukai atau ingin dihindarinya. 


نَعُوْذُBermaksud kami berlindung atau minta pemeliharaan. نَ itu mewakili kami / kita. نَحْنُ (kami / kita) + عَاذَ (mohon berlindung) = نَعُوْذُ (kami mohon berlindung).

Bersambung untuk siri 2.

No comments:

Post a Comment